Ketika berdoa, lakukan dengan cara dan adab yang betul kerana doa adalah satu ibadat. Ia merupakan satu tanda kerendahan hamba terhadap Allah SWT. Ia boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan. Di samping itu, doa juga hendaklah dilakukan di tempat yang betul, masa yang sesuai dan suasana yang baik.
Berikut adalah adab-adab berdoa:
- Angkat tangan ke paras dada.
- Rapatkan kedua-dua belah tapak tangan.
- Apabila urat tangan bertemu ia akan menjadi seperti huruf ba ب . Titik ba terletak di hati kita. Kedudukannya rendah dari tangan yang kita tadah. Setiap huruf hijaiyah di dalam al-Quran ada malaikat yang menjaganya. Huruf ba dijaga oleh malaikat bernama ‘har hayaail’. Malaikat ini akan mengangkat doa kita terus menghadap Allah SWT tanpa sebarang perantara. Oleh itu berdoa bersungguh-sungguh dengan penuh pengharapan.
- Duduklah dalam keadaan sopan seperti duduk iftirasy dan duduk tahiyat akhir. Jika berdiri, tegakkan badan betul-betul dan jangan bersandar.
- Sepanjang berdoa, banyakkan memuji kebesaran Allah SWT dan menyebut nama-nama Allah yang lain yang bersesuaian dengan keperluan doa kita pada masa itu. Contohnya jika berdoa memohon dimurahkan rezeki, sebutlah nama Allah Ar-Razzaq iaitu merujuk kepada Allah SWT yang banyak memberi rezeki kepada hamba-Nya. Ia seterusnya disusuli pula dengan berselawat ke atas baginda nabi SAW.
- Berdoalah bersungguh-sungguh dari hati. Sesuatu doa hendaklah dilakukan dengan ikhlas, khusyuk, tertib dan penuh tawaduk.
- Gunalah bahasa yang mudah dan dapat difahami kerana Allah Maha Pengasih dan sangat memahami dan mendengar segala bicara tulus hamba-hambaNya.
Ajarkanlah adab berdoa kepada seluruh ahli keluarga sejak dari usia kecil kerana InsyaAllah ia akan dapat membentuk peribadi baik dalam kehidupan.