in

Nasi dagang kurma kambing dinikmati bersama panorama sawah

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Pulau Langkawi memang terkenal sebagai antara lokasi tumpuan yang kaya dengan nilai sejarah dan warisan geologinya.

Dianugerah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan status “geopark” pada 2007, Langkawi dikunjungi ribuan pelancong.

Namun, kunjungan ke situ tidak lengkap jika tidak singgah ke gerai di tepi sawah iaitu Nasi Dagang Pak Malau di Jalan Makam Mahsuri yang beroperasi sejak 2012.

Pemiliknya Jamaludin Hashim, 66, berkata idea membuka gerai berkonsep keindahan sawah dan gunung-ganang tercetus selepas solat subuh beberapa tahun lalu.

“Bila balik bersolat dengan isteri memang kita lalu jalan itu, tiba-tiba satu hari terpandang matahari terbit di celah gunung, hati jadi terusik,” katanya, mesra disapa Pak Malau.

Jamaludin memilih berniaga nasi dagang kerana isterinya Zuhariah Daud, 61, asal Kelantan selain beliau mahu mencari kelainan berikutan banyak gerai nasi campur di sana.

Mengenai nama gerai, beliau berkata nama “Pak Malau” diambil dari pantunMelayu  lama sebelum panggilan tersebut melekat kepada diri sendiri.

Selain panorama memukau, keunikan nasi dagang disebabkan mereka menggunakan beras wangi, bukan beras pulut seperti di Pantai Timur.

“Biasanya kalau di Kelantan dan Terengganu, nasi dagang di makan bersama gulai ikan tongkol, tapi kami sediakan pelbagai pilihan lauk,” katanya.

“Ikan tongkol ada, kita juga ada daging masak kerutuk, ayam goreng berempah, ayam kampung dan kurma kambing,” kata Jamaludin.

Sentiasa penuh setiap pagi dengan pelanggan serata dunia, gerai dibuka setiap hari, kecuali Selasa, bermula jam lapan hingga dua petang.

Semua hidangan berharga RM10 bersama nasi kecuali kurma kambing RM16 dan ayam kampung RM12.

Buat yang mahu ke sini, boleh rujuk aplikasi peta Google atau Waze dengan taip Nasi Dagang Pak Malau.

Lokasinya lebih kurang 800 meter dari Makam Mahsuri dan sekitar satu minit dari Masjid Nurul Naim.

Semak Facebook: Nasi Dagang Pak Malau atau hubungi 012 271 1977 untuk sebarang pertanyaan. 

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Fenomena ‘Supermoon’, Bulan Paling Dekat Dengan Bumi Malam Ini!

4 PETUA SIHAT DALAMAN WANITA